Friday, November 25, 2011

Khasiat Teh Dan Kopi

Mana satu minuman kegemaran anda setiap pagi, kopi atau teh. Yang pasti, minuman ini mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Ada orang yang berasa tidak bertenaga dan lemah lesu selagi tidak mendapat secawan kopi atau teh. Segar rasanya setelah menghirup secawan kopi atau teh panas.

Pun begitu, kopi atau teh ini banyak kegunaannya dari sudut kecantikan. Mudah dan berkesan. Jimat pun sama sebab kita boleh beli dan buat sendiri. Nak tau khasiatnya...??


Rambut bersinar dengan kopi
Bancuh kopi pekat dan panas. Biarkan suam sebentar. Sapu bancuhan kopi pada rambut yang kering dan biarkan selama 20 minit. Bilas dengan air suam. Lakukan seminggu sekali dan rambut anda pasti berkilau.

Kopi singkir selulit
Jika anda ke farmasi dan mencari krim selulit, cuba baca bahan yang terdapat di dalamnya. Satu daripadanya ialah kopi. Lepas ini anda boleh buat sendiri krim selulit dan gunakan dua kali seminggu.

Mula-mula alas lantai bilik air dengan surat khabar. Bancuh biji kopi dengan air panas yang dicampur satu sudu besar minyak zaitun. Berdiri di atas surat khabar dan gosok bancuhan kopi tadi pada bahagian yang berselulit. Untuk hasil lebih memuaskan, gunakan span. Selepas itu, balut bahagian yang disapu kopi tadi dengan plastik dan biarkan beberapa minit. Bilas dengan air suam.

Buang sel kulit mati dengan kopi
Buang sel kulit mati dan dalam masa sama kurangkan pori-pori yang terbuka. Bancuh suku cawan biji kopi yang telah digunakan dengan sebiji putih telur. Bancuh sebati dan sapu pada muka. Biar kering dan bilas dengan air suam. Jika kulit anda jenis kering, sapu pula dengan pelembap kegemaran anda.

Mata segar dengan teh
Jangan buang uncang teh yang telah digunakan. Sejukkan sebentar di dalam peti sejuk dan letak pada kelopak mata selama 10 minit. Rasa sejuk uncang teh menyamankan mata anda serta-merta.

Teh melegakan kaki yang penat
Rendam kaki di dalam besen air teh sejuk selama 15 minit atau dalam air teh herba pudina bagi melegakan kaki yang penat. Kesegaran aroma teh menghilangkan bau kaki setelah sehari bekerja.

Teh sebagai rawatan wajah
Campur satu sudu kecil oat halus bersama teh herba wangi bagi membuat skrub muka. Biar kering dan bilas. Bagaimanapun jangan lakukan jika kulit anda sensitif.

Anda boleh juga membuat pes segar atau masker dengan mencampurkan teh herba wangi bersama susu tepung. Gosok pada muka dan biar kering. Selepas itu bersihkan dengan tisu sebelum membasuh muka.

Teh melegakan luka
Teh mengandungi bahan anti bakteria. Basahkan kapas dengan pekatan teh dan tekap pada luka kira-kira lima minit. Ulang lagi selama empat kali dan jangan basuh. Cara ini juga selamat pada kanak-kanak.

Kulit kepala sihat dengan teh
Panaskan setengah cawan minyak zaitun di dalam kuali. Campurkan dua sudu teh lavender yang telah ditumbuk dan dua isi uncang teh pudina. Jangan didihkan. Urut bahan ini pada kulit kepala. Bungkus rambut dengan penutup kepala selama 20 minit atau lebih. Bilas rambut dan keringkan. Lakukan sebulan sekali agar kulit kepala sihat dan menguatkan akar rambut.


Komen2 la free jer hehee...LIKE ler skali yerk~

0 orang komen:

Post a Comment

-> Assalammualaikum.....
-> Komenlah banyak2 kat sini yerk...
-> Give your best idea nak improve blog nie... :)